Tuesday, August 17, 2010

Makam Sultan Yahya Siak...!

     Sejarah Riau sebelum kemerdekaan lebih diwarnai riwayat kerajaan Melayu Islam, dengan kerajaan terbesarnya adalah Kerajaan Siak Sri Indrapura. Kerajaan ini didirikan oleh Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah pada tahun 1725. Sultan pertama ini meninggal pada tahun 1746 dan kemudian diberi gelaran Marhum Buantan. Setelah kemangkatan baginda, terdapat 11 orang sultan yang pernah bertakhta di Kerajaan Siak Sri Indrapura. Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784) adalah Sultan yang ke-6 menaiki takhta dalam turutan tampuk pemerintahan. Baginda hanya sempat memerintah selama 2 tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu dan telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1784 dengan gelaran Marhum Mangkat di Dungun.


     Lokasi kompleks Makam Sultan Yahya Siak ini terletak di Kampung Binjai, Che Lijah yang mana kedudukannya adalah di antara pekan Dungun dengan Tanjung Jara.


Keterangan pada batu tanda tertera;
    Beliau menaiki takhta Kerajaan Siak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ismail pada tahun 1782. Semasa pemerintahan Sultan Yahya, telah berlaku perebutan kuasa di antara baginda dengan Raja Alam. Melalui muslihatnya, Raja Alam telah berjaya merampas takhta kerajaan Siak daripada Sultan Yahya. Sultan Yahya telah berundur ke Retih dan kemudian ke Tanjung Pati di Dungun, Terengganu. Baginda telah mangkat di Dungun dan dimakamkan di tanah perkuburan Islam Kampung Binjai, Che Lijah di Dungun pada tahun 1784.


    Selain makam Almarhum Sultan Yahya Siak, terdapat beberapa buah makam lain yang turut berada dalam kompleks makam.

     Binaan kompleks makam ini dihiasi dengan keindahan seni ukiran Melayu tradisi. Kepingan papan pator pada cucuran atap serta kerawang dengan aplikasi teknik ukiran tebuk tembus pada muka dinding di antara bumbung atas dengan bumbung bawah mengundang perhatian.


    Kayu buton yang sering dilihat pada binaan masjid-masjid tua dan rumah tradisional Melayu turut dipasang pada tulang perabung kompleks makam.



     Seni ukiran tebuk tembus dan ukiran pada kepala tiang di kedua bahagian sisi pagar kayu diilhamkan daripada unsur tumbuhan semulajadi.


    Rekabentuk kepala tiang ini adalah hasil adaptasi daripada motif kelopak bunga seroja. Motif ini turut digunapakai dalam rekabentuk nesan lama.


    Ukiran yang dihasilkan melalui teknik luakan ini seolah-olah memperlihatkan bentuk bunga seroja yang sedang mekar kuntumannya.


  Batu nesan di pusara Sultan Yahya Siak ini lebih tinggi kedudukannya daripada aras mata dan kepala.


Lantai kompleks makam ini dipasang dengan jubin berwarna hitam sebagai kemasan di ruang dalam binaan.

    Wujud kekeliruan fakta tentang turutan pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Siak. Keterangan di sisi makam Sultan Yahya Siak tertera: Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (Marhum Mangkat di Dungun) Sultan Siak ke Tujuh. Memerintah tahun 1782-1784 M. Mangkat 1784 M.


    Berdasarkan rujukan dari beberapa laman sesawang, baginda adalah Sultan ke-5 selepas pemerintahan Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah. Ini bermakna, almarhum adalah Sultan ke-6 dalam sistem pemerintahan beraja Kerajaan Siak Sri Indrapura semasa hayatnya sebagaimana turutan berikut:


• Sultan Abdul Jalil Rahmad Syah (1725-1746)
• Sultan Abdul Jalil Rakhmad Syah (1746-1765)
• Sultan Abdul Jalil Jalaluddin Syah (1765-1766)
• Sultan Abdul Jalil Alamuddin Syah (1766-1780)
• Sultan Muhammad Ali Abdul Jalil Muazzam Syah (1780-1782)
• Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah (1782-1784)


Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah sebagai penutup bicara…!


Sumber : http://jejakmihrabmimbar.wordpress.com/2010/06/19/makam-sultan-yahya-siak/

No comments:

Post a Comment